Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Mac. - Sambutan Hari Raya Aidilfitri diraikan dalam suasana yang penuh ceria, gembira dan kesyukuran. Kemeriahan itu bukan sahaja dapat dirasakan oleh umat Islam di Negara Brunei Darussalam malah bahang kehangatannya dirasakan oleh pekerja-pekerja asing di negara ini.
Menurut Inayyah Ishma Aulia, Hari Raya ini merupakan kali kedua disambut di negara ini tanpa keluarga tercinta. Seperti tahun sebelumnya, beliau meraikan sambutan tersebut bersama kawan-kawan dalam suasana sederhana. Tambahnya, suasana Raya di negara ini sama seperti di Jawa Timur dan beliau juga turut mempersiapkan baju raya untuk sambutan berkenaan. "Kuih mor dan kek tart nanas adalah makanan tradisi raya yang disukai di Brunei," ujar Inayyah.
Begitu juga dengan Ahmad Aliyudin yang baharu sahaja tiga bulan bekerja di negara ini, katanya, suasana Aidilfitri disambut sama seperti di negaranya dengan menghidangkan pelbagai kuih-muih Raya untuk ahli keluarga dan sanak-saudara yang bertandang kerumah. Beliau yang berkesempatan menghadiri rumah terbuka ('open house') pada hari pertama Aidilfitri di negara ini mengakui bahawa masakan rendang Brunei sangat sedap.
Dalam pada itu, mereka turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini dan juga buat ahli keluarga mereka yang jauh.